Isnin, Mac 05, 2012

40,000 Hadir Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor

YAB TPM hadir di majlis perasmian Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor yang diadakan di Pdg SMV Muar

Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermaklumat selain memperkasa perpaduan rakyat. Turut hadir ialah Y.A.B. Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor dan Y.B. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.


Komuniti 1Malaysia (K1M) merupakan pertubuhan sukarela pelbagai kaum peringkat akar umbi di bawah seliaan Jabatan Penerangan Malaysia yang bertujuan memperkasakan semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dalam komuniti, memupuk semangat kesukarelaan dan berdikari, meningkatkan ilmu pengetahuan dan menjadi agen perubahan dalam komuniti.

Sehingga tahun 2011, terdapat sebanyak 1,195 buah Komuniti 1Malaysia (K1M) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 115 buah daripadanya adalah di negeri Johor. Penglibatan masyarakat bukan Melayu seperti Cina, India dan Orang Asli juga amat menggalakkan. Pada masa ini terdapat 16 buah K1M bukan Melayu di negeri Johor dan dijangka bertambah sebanyak 30 buah lagi sehingga hujung tahun ini.

Komuniti 1Malaysia (K1M) dengan slogan Penggerak Transformasi Rakyat dijayakan melalui lima (5) bidang utama iaitu Rakan Padu (ketahanan dan perpaduan nasional), Rakan Usahawan (pembangunan sosio-ekonomi), Rakan IT (perkongsian maklumat), Rakan Budaya (kebudayaan dan kesenian) dan Rakan Harmoni (interaksi sosial).

Bersempena Pelancaran K1M Negeri Johor, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin juga telah menyempurnakan penyampaian Vest K1M dan 98 buah Komputer Riba 1Malaysia kepada Pengerusi-Pengerusi K1M di negeri Johor.

Pertandingan Mewarna Kanak-kanak yang diadakan di tapak Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor
Pelbagai acara menarik diadakan sempena Pelancaran K1M Negeri Johor anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang bermula pada 1 hingga 4 Mac 2012 di Padang Sekolah Menengah Vokasional Muar, Jalan Sungai Abong, Muar dan dijangka menerima kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung. Sebanyak 70 lot gerai disediakan antaranya ialah pameran dan gerai jualan produk K1M, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan, sektor swasta dan pelbagai perkhidmatan percuma agensi Kerajaan.

  
Permainan bola sepak  belon antara yang menarik perhatian pengunjung

Sukaneka 1Malaysia turut diadakan di tapak Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor
Selain itu ialah Sukaneka 1Malaysia dan Sukan Interaktif, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Memasak 1Malaysia, Senam Seni 1Malaysia, Konsert Pentarama bersama artis-artis popular tanahair antaranya Dato’ Jeffrydin, Mas Idayu, Zainal Abidin, Ramlah Ram, Kenny Lee dan Vijay. Turut diadakan ialah Layar Bestari, persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan cabutan bertuah.

EXCO Penerangan Johor, YB Tn. Hj. Md Jais Sarday melancarkan program Kembara Jalinan Kasih di Dataran Niaga, Muar

Terdahulu sebelum Pelancaran K1M Negeri Johor ini telah diadakan program Kembara Jalinan Kasih pada 29 Februari hingga 2 Mac 2012 yang disertai oleh Sukarelawan K1M dengan mengadakan kunjungan mesra, aktiviti gotong-royong membaik pulih rumah dan menyampaikan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik di sekitar Parlimen Bakri.

Pelancaran K1M akan diadakan di seluruh negara pada tahun ini dan dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat serta peningkatan jumlah Sukarelawan K1M.

Persiapan Akhir Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor Berjalan Lancar

Datuk Poziah Abdul Rahman (Kiri) menerangkan sesuatu kepada Dato' Sri Kamaruddin Siaraf, KSU KPKK sewaktu hadir ke majlis raptai penuh Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor

Bahang kemeriahan sambutan Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor yang akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri pada 3 Mac ini semakin terasa dengan kehadiran orang ramai ke tapak pelancaran di padang Sekolah Menengah Vokasional Muar, Johor.


Dato' Sri Kamaruddin Siaraf memperkatakan sesuatu mengenai persiapan Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor di Padang Sek. Men. Vokasional Muar, Johor. Turut hadir Datuk Poziah Abdul Rahman (kiri)

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, YBhg Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf ketika hadir menyaksikan raptai penuh majlis pelancaran tersebut menyifatkan persiapan yang dilakukan telah hampir sempurna dan amat berpuas hati dengan pengisian yang diatur.

Roy menyampaikan lagu patriotik diiringi penari kebudayaan di pentas utama  sempena raptai penuh Pelancaran Komuniti 1Malaysia(K1M) Negeri Johor

Beliau turut mengingatkan agar setiap pihak yang terlibat memberikan komitmen dan kerjasama jitu dalam memastikan majlis Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor berjalan lancar.

Nik Mohd Kamal sempat meluangkan masa melawat ke gerai Komuniti 1 Malaysia (K1M) Segamat yang  mempromosikan haiwan  eksotik untuk dijual secara komersial
 Sebanyak 70 lot gerai pameran dan jualan disediakan untuk dilawati oleh para pengunjung yang hadir. Antaranya ialah gerai jualan produk Komuniti 1Malaysia (K1M), produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan, pameran pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Pengisian khusus untuk kanak-kanak turut disediakan seperti soopa doopa, basikal fixie dan pertandingan mewarna.

Masyarakat setempat juga akan dihiburkan dengan persembahan artis popular tanahair antaranya Dato’ Jeffrydin, Zainal Abidin, Kenny Lee, Vijay Emergency, Ramlah Ram dan konsert PENTARAMA, Jabatan Penerangan Malaysia.

Program Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor berlangsung selama empat (4) hari bermula pada 1 hingga 4 Mac 2012

Sukarelawan Komuniti 1Malaysia Realisasi Impian Golongan Miskin

Ketua Konvoi Kembara Jalinan Kasih, YM Tengku Badli Tengku Zalli menyampaikan sumbangan kepada orang kurang upaya di Kampung Parit Raja Sari, Bakri
 Kehidupan lima (5) buah keluarga kurang bernasib baik di kawasan DUN Sungai Abong kembali ceria apabila rumah mereka dipilih oleh Jabatan Penerangan Malaysia bagi aktiviti gotong-royong membaik pulih rumah sempena program Kembara Jalinan Kasih (KJK) hari ini.

Timb. Ketua Pengarah Penerangan, Tarmidzi Hashim (kanan) beramah mesra bersama Encik Goh Mo (kiri) penerima bantuan baikpulih rumah sempena program Kembara Jalinan Kasih

Encik Goh Mo dan isteri, ketika ditemui menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada Jabatan Penerangan Malaysia dan Kerajaan atas bantuan yang dihulurkan. Katanya lagi, kini beliau tidak lagi bimbang akan keselamatan keluarganya terutama apabila hujan lebat dan cuaca buruk memandangkan bumbung rumah mereka yang selama ini bocor dan uzur telah diganti baru melalui program ini.

Sukarelawan Komuniti 1Malaysia bertungkus lumus mengecat rumah Encik Goh Mo di Parit Haji Zain, Bakri
Ternyata hasil gabungan pelbagai kemahiran yang dimiliki oleh para Sukarelawan Komuniti 1Malaysia dan semangat kesukarelaan berbilang bangsa telah merubah hidup dan memberi keselesaan kepada keluarga Goh Mo.

Ketua Konvoi Kembara Jalinan Kasih, YM Tengku Badli Tengku Zalli menyampaikan sumbangan kepada masyarakat india di Taman Perwira, Batu 6, Bakri
 Aktiviti khidmat komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia menerusi program KJK ini melibatkan seramai 70 peserta yang terdiri daripada kakitangan Jabatan dan Sukarelawan Komuniti 1Malaysia (K1M). Program sebegini merupakan antara inisiatif terbaik bagi mendekati rakyat di samping menyampaikan maklumat dan dasar-dasar Kerajaan selaras dengan Gagasan 1Malaysia.

EXCO Penerangan Johor, YB Tn. Hj. Md Jais Sarday membaikpulih rumah di Bt 16, Air Hitam, Muar sempena KJK. Disaksikan Timb. Ketua Pengarah Penerangan, Tarmidzi Hashim (tiga dari kiri)
 Terdahulu, YB Tuan Haji Md Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor merangkap EXCO Penerangan ketika berucap merasmikan Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Jalinan Kasih (KJK) di Dataran Niaga Sungai Abong pagi tadi menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dan menyeru usaha murni ini diteruskan pada masa akan datang.

Kembara Jalinan Kasih yang bermula pada 29 Februari hingga 2 Mac 2012 ini merentasi kawasan Parlimen Bakri meliputi tiga (3) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bentayan, Sungai Abong dan Bukit Naning. Konvoi menyampaikan bantuan berbentuk barangan keperluan harian kepada 300 keluarga kurang bernasib baik di daerah Muar.

Kembara Jalinan Kasih : Dekati Masyarakat Kurang Bernasib Baik

Konvoi Kembara Jalinan Kasih bergerak ke Kawasan DUN Sungai Abong sejurus dilancarkan oleh EXCO Penerangan Negeri Johor YB Tuan Haji Md Jais Sarday
 Y.B. Tuan Haji Md Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor merangkap Exco Penerangan telah menyempurnakan pelancaran dan pelepasan Konvoi Kembara Jalinan Kasih (KJK) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia sempena Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor yang turut disaksikan oleh Y.Brs. Encik Tarmidzi Hashim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Jabatan Penerangan Malaysia.

Antara penerima sumbangan yang hadir pada Majlis Pelancaran Kembara Jalinan Kasih di Dataran Niaga, Muar, Johor

Konvoi Kembara Jalinan Kasih (KJK) yang bermula dari 29 Februari hingga 2 Mac 2012 bertujuan mempromosikan Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor yang akan dirasmikan oleh Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 3 Mac 2012 di Padang Sekolah Menengah Vokasional Muar, Johor.

Konvoi KJK kali ini melibatkan 13 buah kenderaan dengan penyertaan seramai 70 peserta konvoi terdiri daripada kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia di seluruh Semenanjung serta Sukarelawan Komuniti 1Malaysia (K1M). Konvoi akan merentasi tiga (3) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bentayan, Sungai Abong dan Bukit Naning di bawah Parlimen Bakri, Johor.

Letchumanan tekun membaca risalah yang diedar oleh Sukarelawan K1M sempena Kembara Jalinan Kasih, Jabatan Penerangan Malaysia

Sebanyak 20,000 risalah berkaitan Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor akan diedarkan kepada penduduk tempatan sepanjang tempoh KJK ini selain lawatan rumah ke rumah menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 300 buah keluarga berbilang bangsa yang kurang berkemampuan.
Bagi memeriahkan lagi program KJK ini turut diadakan persembahan PENTARAMA berbentuk hiburan bermaklumat dan tayangan Layar Bestari.

KEMBARA JALINAN KASIH MERIAHKAN PELANCARAN KOMUNITI 1MALAYSIA NEGERI JOHOR


Y.B. Dato' Abdullah Md.Ali, ADUN Bukit Naning beramah mesra bersama warga emas tertua di Kampung Parit Seri Sempadan, Muar berusia 104 tahun sempena Kembara Jalinan Kasih
Konvoi Kembara Jalinan Kasih (KJK) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia turun padang memberikan sumbangan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik di sekitar daerah Muar.

Usaha murni ilham Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Tuan Haji Ibrahim Abdul Rahman berlangsung selama 3 hari bermula pada 29 Februari sehingga 2 Mac 2012 melibatkan 3 kawasan DUN di bawah Parlimen Bakri iaitu Bentayan, Sungai Abong dan Bukit Naning.

Sukarelawan K1M membantu seorang penerima sumbangan Kembara Jalinan Kasih yang kurang upaya.
Konvoi KJK melibatkan seramai 70 peserta terdiri daripada Jabatan Penerangan Malaysia dan Sukarelawan Komuniti 1Malaysia (K1M) menaiki 13 buah kenderaan membawa sumbangan berbentuk barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada 300 keluarga yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Kebajikan Negeri Johor dan pemimpin setempat.

Y.B. Dato' Abdullah Md Ali menyampaikan sumbangan keperluan harian sempena Kembara Jalinan Kasih. Disaksikan oleh Tuan Haji Hamdan Haji Hasnan, Pengarah Penerangan Johor.
 Sumbangan diedarkan seawal jam 8.30 pagi oleh peserta konvoi diketuai oleh ADUN Bukit Naning, YB Dato’ Abdullah Mohd Ali dan pemimpin setempat iaitu YBhg Dato’ Saiful Bahari Shuib. Turut hadir, wakil Ketua Pengarah Penerangan, Hajah Sharifah Mariam Syed Dawilah dan Pengarah Penerangan Negeri Johor, Haji Hamdan Haji Hasnan.

Sebanyak 100 sumbangan telah diagihkan kepada masyarakat kurang kemampuan berbilang bangsa di DUN Bukit Naning. 12 kampung telah dilawati antaranya ialah Kampung Parit Tengah, Parit Baru, Parit Seri Sempadan dan Batu 14-16. Turut menerima sumbangan ialah warga emas berumur 104 tahun di Kampung Parit Seri Sempadan di sini.