Selasa, Januari 04, 2011

Selamat tinggal DENGGI......


MELBOURNE: Saintis Australia berjaya membangunkan sejenis bakteria yang mampu membasmi demam denggi.

Bakteria itu bertindak sebagai vaksin untuk nyamuk, yang kemudiannya memberikan tindak balas untuk mencegah penyakit itu daripada merebak kepada manusia, menurut laporan Australian Associated Press (AAP). Profesor Scott O’Neill dari University of Queensland, berkata beliau amat teruja kerana ujian lapangan selama 12 minggu sudah bermula di kawasan pinggir bandar Yorkeys Knob di Cairns dan Gordonvale di Queensland. Kira-kira 100 juta penduduk di negara membangun dijangkiti demam denggi setiap tahun berikutan penyelesaian pada peringkat global mengenai penyakit ini sudah lama tertangguh, katanya.

Lebih 40,000 mati di negara miskin berikutan tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan.

O’Neill berkata, projeknya mungkin menjadi penyelesaian paling selamat dan kos efektif, menghapuskan keperluan penggunaan racun serangga yang membahayakan alam sekitar.

“Menjelang April, usaha mencegah nyamuk aedes aegypti daripada menyebarkan virus denggi di antara individu dan individu berada di landasan yang betul atau tidak,” katanya.
Ujian lapangan terbabit bermula Selasa lalu dengan memperkenalkan sejenis bakteria dikenali sebagai Wolbachia dalam populasi nyamuk.

Penyelidikan menunjukkan Wolbachia bertindak seperti vaksin bagi nyamuk, dengan memonopoli sumber diperlukan virus denggi.

Nyamuk yang dijangkiti Wolbachia dibiak di James Cook University, Cairns. “Kami mempunyai kepentingan global dalam projek ini.

“Jika uji kaji ini berjaya, kami menjangka pelaksanaan dan pengawalan sepenuhnya denggi di kawasan Cairns dalam tempoh masa dua hingga empat tahun akan datang,” kata O’Neill.

Projek berkenaan dibiayai Foundation for the National Institutes of Health sebagai sebahagian daripada inisiatif Cabaran Besar dalam Kesihatan Global, Bill and Melinda Gates Foundation.

Projek itu turut menerima pembiayaan daripada National Health and Medical Research Council of Australia serta Kerajaan Queensland.

sumber dipetik daripada BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan