Isnin, April 30, 2012

Kembara Jalinan Kasih Gua Musang Dilancar


Y.B. Datuk Paduka Norzula Mat Diah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh hari ini telah menyempurnakan pelancaran dan pelepasan Konvoi Kembara Jalinan Kasih (KJK) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia sempena Karnival Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Kelantan yang turut disaksikan oleh Y.B Abdul Aziz Yusoff, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan Y.Bhg. Tuan Haji Ibrahim Abdul Rahman, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia.

Dalam ucapannya, Y.B. Datuk Paduka Norzula Mat Diah menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dan menyeru usaha murni ini diteruskan pada masa akan datang. Selain itu, beliau turut mengingatkan peserta konvoi KJK untuk menerangkan dasar-dasar serta kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan untuk kemudahan rakyat.
Beliau turut menyampaikan sebanyak 19 sumbangan berupa barangan keperluan harian dan sebuah kerusi roda kepada masyarakat di kawasan Paloh 3, Gua Musang pada majlis tersebut.

Beliau kemudiannya menyertai konvoi KJK melawat ke rumah Puan Che Esah Mohamad yang terlibat di dalam program membaik pulih rumah anjuran Jabatan Penerangan Malaysia. Sebanyak tiga (3) buah rumah telah dipilih untuk program kali ini.

Konvoi KJK yang bermula dari 30 April hingga 2 Mei 2012 bertujuan mempromosikan Karnival Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Kelantan yang akan dirasmikan oleh Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 4 Mei 2012 di Padang Pusat Sivik, Gua Musang, Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan