Isnin, Mac 05, 2012

40,000 Hadir Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor

YAB TPM hadir di majlis perasmian Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor yang diadakan di Pdg SMV Muar

Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Pelancaran Komuniti 1Malaysia (K1M) Negeri Johor dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermaklumat selain memperkasa perpaduan rakyat. Turut hadir ialah Y.A.B. Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor dan Y.B. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.


Komuniti 1Malaysia (K1M) merupakan pertubuhan sukarela pelbagai kaum peringkat akar umbi di bawah seliaan Jabatan Penerangan Malaysia yang bertujuan memperkasakan semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dalam komuniti, memupuk semangat kesukarelaan dan berdikari, meningkatkan ilmu pengetahuan dan menjadi agen perubahan dalam komuniti.

Sehingga tahun 2011, terdapat sebanyak 1,195 buah Komuniti 1Malaysia (K1M) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 115 buah daripadanya adalah di negeri Johor. Penglibatan masyarakat bukan Melayu seperti Cina, India dan Orang Asli juga amat menggalakkan. Pada masa ini terdapat 16 buah K1M bukan Melayu di negeri Johor dan dijangka bertambah sebanyak 30 buah lagi sehingga hujung tahun ini.

Komuniti 1Malaysia (K1M) dengan slogan Penggerak Transformasi Rakyat dijayakan melalui lima (5) bidang utama iaitu Rakan Padu (ketahanan dan perpaduan nasional), Rakan Usahawan (pembangunan sosio-ekonomi), Rakan IT (perkongsian maklumat), Rakan Budaya (kebudayaan dan kesenian) dan Rakan Harmoni (interaksi sosial).

Bersempena Pelancaran K1M Negeri Johor, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin juga telah menyempurnakan penyampaian Vest K1M dan 98 buah Komputer Riba 1Malaysia kepada Pengerusi-Pengerusi K1M di negeri Johor.

Pertandingan Mewarna Kanak-kanak yang diadakan di tapak Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor
Pelbagai acara menarik diadakan sempena Pelancaran K1M Negeri Johor anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang bermula pada 1 hingga 4 Mac 2012 di Padang Sekolah Menengah Vokasional Muar, Jalan Sungai Abong, Muar dan dijangka menerima kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung. Sebanyak 70 lot gerai disediakan antaranya ialah pameran dan gerai jualan produk K1M, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan, sektor swasta dan pelbagai perkhidmatan percuma agensi Kerajaan.

  
Permainan bola sepak  belon antara yang menarik perhatian pengunjung

Sukaneka 1Malaysia turut diadakan di tapak Pelancaran Komuniti 1Malaysia Negeri Johor
Selain itu ialah Sukaneka 1Malaysia dan Sukan Interaktif, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Memasak 1Malaysia, Senam Seni 1Malaysia, Konsert Pentarama bersama artis-artis popular tanahair antaranya Dato’ Jeffrydin, Mas Idayu, Zainal Abidin, Ramlah Ram, Kenny Lee dan Vijay. Turut diadakan ialah Layar Bestari, persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan cabutan bertuah.

EXCO Penerangan Johor, YB Tn. Hj. Md Jais Sarday melancarkan program Kembara Jalinan Kasih di Dataran Niaga, Muar

Terdahulu sebelum Pelancaran K1M Negeri Johor ini telah diadakan program Kembara Jalinan Kasih pada 29 Februari hingga 2 Mac 2012 yang disertai oleh Sukarelawan K1M dengan mengadakan kunjungan mesra, aktiviti gotong-royong membaik pulih rumah dan menyampaikan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik di sekitar Parlimen Bakri.

Pelancaran K1M akan diadakan di seluruh negara pada tahun ini dan dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat serta peningkatan jumlah Sukarelawan K1M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan